Seorang pelajar lelaki Tingkatan Enam berusia 18 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika sedang berbaris bersama rakan-rakannya bagi menghadiri sesi orientasi kokurikulum di sebuah sekolah menengah di Melaka pada Rabu.

Baru Tiga Minggu Masuk Tingkatan Enam, Pelajar Meninggal Dunia Akibat Masalah Jantung

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.40 petang ketika mangsa berada di koridor kelas. Mangsa dikatakan tiba-tiba rebah dan berada dalam keadaan lemah sebelum pihak sekolah segera mendapatkan bantuan perubatan.

Menurut beliau, guru besar sekolah yang menyedari kejadian itu terus menghubungi ambulans dan mangsa dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk menerima rawatan lanjut. Katanya, pasukan perubatan telah melakukan bantuan pernafasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) selama kira-kira 68 minit, namun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.11 malam.

Hasil siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sejarah mendapatkan rawatan bagi sebarang penyakit dan tidak pernah mengadu mengalami masalah kesihatan sebelum kejadian. Perkara itu disahkan oleh ibu mangsa ketika ditemu bual pihak polis.

Beliau berkata, mangsa merupakan anak sulung daripada dua beradik dan baru tiga minggu memulakan pengajian di Tingkatan Enam di sekolah tersebut. Difahamkan, mangsa juga aktif menyertai aktiviti sukan.

Sementara itu, keputusan bedah siasat yang dijalankan pada Khamis mengesahkan punca kematian adalah akibat Coronary Artery Anomalies, iaitu keabnormalan pada saluran arteri koronari. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan pihak polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam insiden tersebut.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]