Baru-baru ini, ibu kepada remaja lelaki yang menjadi mangsa buli empat remaja dalam video tular berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaan anaknya yang masih menjalani proses pemulihan akibat kecederaan serius yang dialami.

Keretakan Tengkorak Ambil Hingga Setahun Pulih, Ibu Kongsi Keadaan Terkini Anak Dipukul

Menerusi satu hantaran di media sosial, Zulaikha Sabri menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang tidak putus-putus memberikan doa, kata-kata semangat serta sokongan kepada keluarganya sejak kejadian tersebut berlaku.

Menurutnya, keadaan fizikal anaknya kini semakin bertambah baik apabila sudah boleh makan dan bergerak secara perlahan seperti biasa. Namun begitu, kecederaan dalaman termasuk pendarahan pada otak dan keretakan tulang tengkorak masih memerlukan rawatan serta pemantauan rapi. Zulaikha berkata, pada minggu pertama selepas kejadian, anaknya mengalami sakit kepala yang sangat teruk selain muntah berulang kali. Tambahnya, proses penyembuhan keretakan pada tengkorak dijangka mengambil masa antara enam hingga 12 bulan.

Sepanjang tempoh tersebut, remaja itu perlu menjalani pemeriksaan susulan setiap bulan kerana kecederaan di bahagian kepala boleh menyebabkan risiko sawan secara tiba-tiba serta komplikasi lain. Malah, dia juga dilarang melakukan sebarang aktiviti lasak dan tidak dibenarkan menyertai sukan, permainan atau Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) apabila kembali ke sekolah nanti.

Lebih menyedihkan, Zulaikha memaklumkan anaknya masih bergelut dengan trauma akibat kejadian berkenaan. Menurutnya, sepanjang tiga minggu lalu, remaja itu kelihatan sentiasa berada dalam ketakutan dan sukar menjalani kehidupan seperti biasa kerana bimbang diserang sekali lagi. Dia juga kini memerlukan ibunya berada di sisi hampir sepanjang masa untuk berasa lebih selamat.

Dalam pada itu, beliau berkata siasatan kes masih diteruskan dan atas faktor tertentu, tidak dapat mendedahkan perkembangan lanjut kepada orang ramai. Beliau turut mengesahkan bahawa tuntutan pampasan melalui Tribunal Antibuli telah difailkan, manakala tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat akan diuruskan oleh peguam.

Mengakhiri perkongsiannya, Zulaikha berharap individu yang bertanggungjawab menerima hukuman yang setimpal. Beliau turut menyifatkan anaknya sebagai seorang yang baik, rajin membantu keluarga serta menjadi harapan besar buat mereka.

Kredit: Facebook Zulaikha Sabri

 

[fbcomments]