Pelakon Datin Nelydia Senrose kini bergelar ibu selepas selamat melahirkan cahaya mata sulung lelaki pada Ahad. Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh suaminya, Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid menerusi satu hantaran di Instagram yang turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas pengorbanan isterinya.
![]()
Nelydia Senrose Selamat Timang Cahaya Mata Lelaki, Suami Luah Rasa Syukur
Menurut Mohd Hafez, kelahiran bayi mereka pada 26 Julai 2026 menjadi detik paling bermakna dalam hidupnya apabila berpeluang menyaksikan sendiri perjuangan Nelydia sepanjang proses melahirkan anak. Katanya, pengalaman melihat isterinya melalui setiap kesakitan dan cabaran demi membawa bayi mereka ke dunia akan kekal terpahat dalam ingatannya buat selama-lamanya.
Dalam perkongsian sama, Mohd Hafez menyifatkan Nelydia sebagai seorang wanita yang kuat dan berani meskipun proses kelahiran bukanlah sesuatu yang mudah. Dia juga mengakui terharu melihat isterinya menggalas peranan baharu sebagai seorang ibu serta berterima kasih atas segala pengorbanan, air mata, kekuatan dan kasih sayang yang dicurahkan sehingga bayi lelaki mereka selamat dilahirkan.
Menurutnya lagi, kelahiran cahaya mata sulung itu bukan sahaja melengkapkan keluarga kecil mereka, malah menjadi hadiah paling bermakna yang pernah diterimanya sepanjang bergelar suami.
![]()
Mohd Hafez turut meluahkan rasa syukur apabila doa yang dipanjatkan bersama selama bertahun-tahun akhirnya dimakbulkan Allah SWT. Dia bersyukur kerana dikurniakan seorang bayi lelaki yang sihat, selain isterinya juga berada dalam keadaan selamat selepas proses kelahiran.
Dalam masa sama, ahli perniagaan itu berjanji akan terus menyayangi, melindungi dan sentiasa berada di sisi Nelydia sebagai suami serta bapa kepada anak mereka. Dia turut menyifatkan dirinya sebagai seorang suami yang paling berbangga dan kini seorang ayah yang paling bertuah, selain menyatakan bayi mereka amat bertuah memiliki Nelydia sebagai seorang ibu.
Terdahulu, pasangan itu mengumumkan berita kehamilan sempena sambutan ulang tahun ketujuh perkahwinan mereka pada 7 April lalu. Untuk rekod, Nelydia atau nama penuhnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen mendirikan rumah tangga dengan Mohd Hafez pada 6 April 2019.
Kredit: Instagram mhafezhalimi