Hasrat seorang ibu untuk menatap wajah anaknya buat kali terakhir sebelum dikebumikan menjadi harapan terbesar keluarga selepas rakyat Malaysia, Ahmad Shah, 26, dilaporkan maut dalam satu kejadian tikaman di Daeso-eup, Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan pada 26 Julai lalu.
![]()
Ibu Rayu Jenazah Anak Maut Di Korea Selatan Dipercepat Dibawa Pulang Ke Malaysia
Terdahulu, media melaporkan Ahmad Shah meninggal dunia selepas dipercayai ditikam dalam satu pergaduhan berkumpulan yang melibatkan kira-kira 10 individu daripada dua kumpulan. Insiden yang berlaku sekitar jam 3 pagi itu dipercayai telah dirancang apabila kedua-dua kumpulan bersetuju untuk bertemu sebelum pergaduhan tercetus. Mangsa mengalami kecederaan parah akibat tikaman dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, manakala seorang lagi rakyat Malaysia dilaporkan cedera dan masih menerima rawatan.
Susulan kejadian itu, keluarga Allahyarham kini berharap pihak Kedutaan Malaysia di Korea Selatan dapat membantu mempercepatkan segala urusan dokumentasi serta pelepasan jenazah supaya dapat dibawa pulang ke tanah air secepat mungkin.
Ibu mangsa, Zulfah Fadliani, 47, berkata, satu-satunya harapan keluarga ketika ini adalah agar proses membawa pulang jenazah dipermudahkan tanpa sebarang kelewatan kerana mereka ingin memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
![]()
Menurutnya, kali terakhir dia berbual dengan anaknya adalah pada petang sebelum kejadian ketika Ahmad Shah sedang bekerja di sebuah kilang. Dalam perbualan itu, dia sempat bertanya sama ada panggilan telefonnya mengganggu waktu kerja anaknya, namun Allahyarham menjawab bahawa ibunya hanya merinduinya. Sebelum menamatkan panggilan, Ahmad Shah turut berpesan supaya ibunya sentiasa menjaga kesihatan serta meyakinkan bahawa dia akan sentiasa menjaga ibunya selagi masih hidup.
Bagaimanapun, keesokan harinya Zulfah menerima panggilan daripada menantunya, Nurcahaya Ruslam, 30, yang memaklumkan Ahmad Shah mengalami kecederaan parah akibat ditikam dan sedang menerima rawatan di hospital.
Pada awalnya, keluarga masih berharap keadaan mangsa akan pulih dan hanya mampu berdoa agar segala urusannya dipermudahkan. Namun, tidak lama kemudian mereka menerima berita bahawa Ahmad Shah telah meninggal dunia, sekali gus meninggalkan kesedihan yang amat mendalam buat seluruh keluarga.
![]()
Difahamkan, jenazah Allahyarham masih berada di Korea Selatan sementara menunggu proses dokumentasi serta pelepasan daripada pihak berkuasa sebelum diterbangkan pulang ke Malaysia.
Dalam pada itu, Zulfah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk rakyat Malaysia yang tampil menghulurkan bantuan bagi memudahkan urusan membawa pulang jenazah anaknya. Menurutnya, dia tidak menyangka sumbangan yang diterima berjaya mencecah kira-kira RM80,000 dalam tempoh singkat dan berharap segala kebaikan mereka dibalas serta urusan membawa pulang Allahyarham dipermudahkan.
Kredit: Kosmo!