Seorang lelaki berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika menyertai pertandingan bola sepak yang berlangsung di Residensi Prima Bandar Ekar, Rantau, Seremban, pada pagi Ahad.
![]()
Lelaki Meninggal Dunia Selepas Rebah Ketika Menyertai Pertandingan Bola Sepak
Kejadian berlaku ketika mangsa bertindak sebagai penjaga gol dalam acara sepakan penalti yang merupakan sebahagian daripada pertandingan berkenaan. Mangsa dilaporkan tiba-tiba rebah sebelum tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.35 pagi.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan di tempat kejadian. Pertandingan tersebut difahamkan dianjurkan oleh Pemuda Barisan Nasional (BN) Cawangan Rembau.
![]()
Menurutnya, ketika insiden berlaku, isteri mangsa turut berada di padang bagi memberikan sokongan kepada suaminya yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung dan masih menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), Serdang.
Kredit: Berita Harian