Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan polis selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah sehingga terbabit dalam satu kemalangan yang mengorbankan dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, petang semalam.
![]()
Lelaki Positif Dadah Ditahan Selepas Kemalangan Ragut Nyawa Dua Remaja Perempuan
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 6.35 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu suspek hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya. Kenderaan itu kemudian merempuh sebuah motosikal dan sebuah lagi kereta sebelum melanggar seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.
Akibat kejadian itu, dua remaja perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu kereta terbabit serta kanak-kanak lelaki yang dilanggar mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.
![]()
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Nur Dania Arissa, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia dan Nur Atikah Abdullah, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa.
Sementara itu, hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis benzodiazepine. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kredit: Sinar Harian