Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya yang kini berada di Malaysia hasil rundingan diplomatik serta hubungan baik antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, persetujuan itu merupakan langkah awal dalam usaha menangani isu pelarian yang telah lama menjadi cabaran di rantau ini, selain membantu kerajaan memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.
![]()
Myanmar Setuju Terima Semula 5,000 Rohingya Dari Malaysia, Rundingan Jangka Panjang Diteruskan
Menurutnya, Myanmar turut bersetuju menerima semula 300,000 pelarian Rohingya dari Bangladesh, manakala Malaysia masih meneruskan rundingan bagi mendapatkan penyelesaian jangka panjang.
Menurutnya, desakan supaya semua pelarian dihantar pulang bukan sesuatu yang mudah kerana Myanmar sebelum ini tidak bersedia menerima mereka. Dalam masa sama, kerajaan akan terus mengambil tindakan sekiranya komuniti Rohingya mengganggu lalu lintas, perniagaan atau tempat awam, selain menasihatkan mereka supaya mematuhi undang-undang serta menghormati masyarakat tempatan.
Perkembangan itu turut mengundang pelbagai reaksi di media sosial dengan sebahagian pengguna menganggap keputusan Myanmar menerima 5,000 pelarian sebagai permulaan yang baik. Ada yang berpandangan penghantaran pulang secara berperingkat lebih baik daripada tiada sebarang usaha, malah berharap jumlah tersebut dapat ditambah pada masa akan datang. Orang ramai turut meminta rundingan diteruskan dan kerjasama dengan agensi antarabangsa seperti UNHCR diperkukuhkan bagi memastikan proses penghantaran pulang dapat dilaksanakan dengan teratur.
![]()
Dalam pada itu, sebahagian masyarakat berharap penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin dari semua negara diperkasakan secara adil tanpa mengira kewarganegaraan. Mereka turut menyuarakan kebimbangan mengenai kesan jangka panjang sekiranya isu tersebut tidak ditangani, termasuk terhadap generasi akan datang dan menggesa kerajaan memperketat kawalan sempadan serta membanteras kemasukan secara haram melalui laluan tidak sah.
Pada masa sama, rakyat berharap rundingan diplomatik bersama Myanmar dapat diteruskan supaya lebih ramai pelarian Rohingya dapat kembali ke negara asal dengan selamat. Usaha tersebut dilihat mampu membantu mengurangkan tekanan terhadap kemudahan awam, peluang ekonomi dan kesejahteraan sosial di Malaysia. Walaupun pandangan masyarakat berbeza, banyak reaksi menunjukkan sokongan agar langkah yang sudah dimulakan itu diteruskan dan disusuli dengan penyelesaian yang lebih menyeluruh.
Kredit: Berita Harian