Isu pelarian Rohingya di Malaysia terus menjadi perhatian susulan kebimbangan terhadap nasib lebih 120,000 pelarian yang dianggarkan berada di negara ini.

Dalam perkembangan terbaharu, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani tampil menjelaskan situasi sebenar yang dihadapi komuniti tersebut selepas lebih 100 pelarian dilaporkan kehilangan tempat tinggal apabila diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing di beberapa lokasi.

Presiden MERHROM: Rohingya Bukan Mahu Ambil Alih Malaysia, Hanya Cari Perlindungan

Menurut beliau, pelarian Rohingya bukan datang ke Malaysia untuk menetap selama-lamanya atau mengambil alih negara, sebaliknya mencari perlindungan sementara daripada konflik dan ancaman keselamatan yang masih berlarutan di Myanmar. Beliau berkata, jika mereka tidak boleh pulang ke negara asal dan pada masa sama belum diterima oleh negara ketiga, mereka tidak mempunyai pilihan lain untuk meneruskan kehidupan.

Zafar memaklumkan, isu pengusiran pelarian Rohingya bukan sahaja berlaku di Kuala Muda, Pulau Pinang, malah turut dilaporkan di beberapa negeri lain termasuk Selangor, Johor dan Terengganu. Antara kawasan yang menerima aduan ialah Johan Setia, Klang, Gombak serta beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang, dengan sebahagian penyewa diberikan tempoh antara dua minggu hingga dua bulan untuk mengosongkan rumah.

Katanya, selepas diarahkan keluar, ramai pelarian datang mendapatkan bantuan kerana tidak mempunyai tempat untuk dituju. Di kawasan Gombak sahaja, kira-kira 15 keluarga dilaporkan menerima arahan berpindah, namun jumlah keseluruhan masih dalam proses pengumpulan maklumat.

Beliau mengulas perkara itu susulan insiden lebih 100 pelarian Rohingya yang dipindahkan dari kediaman mereka di Kuala Muda pada 26 Julai lalu sebelum menaiki empat buah bas menuju ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi mendapatkan bantuan.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan seramai 110 pelarian Rohingya yang berkumpul di hadapan pejabat UNHCR dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka memiliki dokumen UNHCR yang sah, manakala agensi tersebut sedang menguruskan tindakan susulan.

Mengulas lanjut, Zafar berkata kebanyakan pelarian Rohingya telah menetap di Malaysia sejak 20 hingga 30 tahun lalu, namun masih belum mempunyai kepastian mengenai masa depan mereka. Menurutnya, Malaysia banyak membantu menyediakan perlindungan sementara, namun negara ini bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, justeru bantuan yang diberikan tidak bermaksud mereka akan menetap di sini buat selama-lamanya.

Beliau turut menegaskan pelarian Rohingya tidak boleh dihantar pulang ke Myanmar kerana keadaan di negara itu masih tidak selamat susulan konflik yang berterusan melibatkan tentera Myanmar dan Arakan Army (AA). Katanya, sekiranya keadaan kembali aman serta mereka diterima semula sebagai warganegara, sudah tentu komuniti Rohingya mahu pulang ke tanah air.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Malaysia, UNHCR serta negara-negara yang menerima pelarian seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, Jepun dan beberapa negara Eropah dapat meningkatkan usaha penempatan semula pelarian Rohingya ke negara ketiga. Menurutnya, cabaran terbesar komuniti tersebut ialah mereka tidak mempunyai negara yang bersedia menerima mereka selepas kehilangan status kerakyatan.

Dalam pada itu, Zafar turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kempen kebencian serta penyebaran maklumat palsu yang didakwa semakin menyasarkan komuniti Rohingya. Beliau bagaimanapun mengingatkan semua pelarian supaya sentiasa mematuhi undang-undang Malaysia serta menghormati budaya dan masyarakat tempatan agar tidak menimbulkan sebarang isu.

Kredit: Kosmo!

 

[fbcomments]