Penyanyi Amira Othman menegaskan dia dan suaminya, Fattah Amin, tidak pernah menarik balik laporan polis berhubung dakwaan fitnah serta tuduhan melampau yang dikaitkan dengan sebuah akaun media sosial palsu bernama “MusangBerjanggut” di platform Threads.
![]()
Amira Othman Tegaskan Tidak Tarik Laporan, Mahu Dalang Akaun Threads “MusangBerjanggut” Didedahkan
Menerusi perkongsian di Threads, Amira berkata dia terkejut apabila menerima banyak mesej peribadi dan tag daripada netizen yang meminta mereka tidak menarik laporan tersebut bagi mengenal pasti individu di sebalik akaun berkenaan. Menurutnya, dia sendiri berasa takut apabila membaca kandungan yang didakwa dilemparkan terhadap mereka dan mempersoalkan keberanian individu terbabit berselindung di sebalik identiti tanpa wajah.
Amira menjelaskan, dia dan Fattah bukan sahaja tidak menarik laporan, malah telah beberapa kali membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain pernah bertemu Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bagi mendapatkan bantuan menangani isu tersebut.
![]()
Dalam pada itu, Amira turut berpendapat isu buli siber perlu dipandang serius kerana kewujudan akaun palsu boleh menyebabkan individu terbabit terus menyebarkan tuduhan tanpa berasa gentar. Beliau mempersoalkan pandangan sesetengah pihak yang menganggap mangsa hanya perlu mengabaikan komen atau hantaran toksik kerana menurutnya, perbuatan itu boleh menjadi semakin melampau walaupun mangsa memilih untuk tidak memberi respons.
Katanya, keadaan sedemikian juga berisiko menjejaskan kesihatan mental dan emosi mangsa. Amira dan Fattah bagaimanapun kekal dengan keputusan untuk tidak menarik laporan kerana mahu mengetahui identiti sebenar pemilik akaun “MusangBerjanggut”, selain berharap sokongan orang ramai serta kuasa tular dapat membantu membongkar dalang di sebalik akaun berkenaan.
![]()
Beliau turut menggunakan tanda pagar #SayNoToCyberbully dalam perkongsiannya.
Kredit: Thread amiraothman