Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati pemberian bonus yang tinggi kepada kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) antara 2014 hingga 2017 tidak wajar dilakukan berdasarkan keadaan kewangan institusi itu pada ketika tersebut.

RCI Persoal Bonus Tinggi TH Ketika Kedudukan Kewangan Berdepan Isu

Menurut laporan RCI, penyata kewangan tahunan TH bagi tempoh berkenaan menunjukkan nilai aset lebih rendah berbanding liabiliti, perkara yang turut diakui oleh Jabatan Audit Negara (JAN). Namun begitu, TH mencatatkan keuntungan besar selepas membuat penilaian aset berdasarkan kaedah ‘Realisable Asset Value’ (RAV), yang kemudiannya menjadi antara justifikasi pemberian bonus kepada kakitangan.

Semakan RCI mendapati jumlah bonus yang dibayar kepada kakitangan TH sepanjang 2010 hingga 2017 adalah antara dua hingga 13 bulan gaji, merangkumi bonus tahunan dan bonus khas. Pada 2014, cadangan bonus luar biasa melibatkan bonus tahunan antara satu hingga 11 bulan gaji serta bonus khas dua bulan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 13 bulan gaji dengan implikasi kewangan RM74 juta. Pembayaran itu dijustifikasikan berdasarkan keuntungan besar TH, dengan kadar bonus dicadangkan antara 1.7 hingga 2.5 peratus daripada keuntungan semasa.

RCI turut menjelaskan proses kelulusan bonus melibatkan tiga peringkat, iaitu Lembaga Pengarah TH, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Kewangan (MOF). Bagaimanapun, kedua-dua pihak kerajaan terbabit pada ketika itu menerima syor yang dikemukakan pihak pengurusan serta Lembaga TH.

Dalam penjelasannya kepada RCI, MOF memaklumkan bahawa pembayaran bonus melebihi dua bulan gaji kepada TH tertakluk kepada pertimbangan dan budi bicara Menteri Kewangan. Antara perkara yang perlu diambil kira termasuk kedudukan kewangan TH, aktiviti operasi, perbelanjaan yang ditanggung, prestasi pelaburan berbanding tahun sebelumnya, produktiviti kakitangan serta implikasi kewangan pembayaran bonus. Pertimbangan itu turut mengambil kira perakuan Lembaga TH dan Menteri Hal Ehwal Agama.

RCI bagaimanapun menegaskan bahawa mengambil kira masalah kewangan TH dalam tempoh 2014 hingga 2017, pemberian bonus dalam jumlah tinggi adalah tidak sepatutnya dilaksanakan. Dalam masa sama, RCI mengambil maklum bahawa mulai 2018, pemberian bonus kepada kakitangan TH telah dikawal berdasarkan kemampuan kewangan institusi tersebut.

Kredit: Berita Harian

 

 

[fbcomments]