Sebanyak 1,850 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas manakala 222 motosikal disita sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 di Terengganu baru-baru ini.

RXZ Members 8.0: Lima Maut, 1,850 Saman Dikeluarkan Polis

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, tindakan penyitaan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurut beliau, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JPST) Terengganu turut membuat enam tangkapan melibatkan empat lelaki tempatan, seorang wanita tempatan serta seorang lelaki warga Singapura berusia 22 tahun. Kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 di Mahkamah Majistret daerah tangkapan masing-masing dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Dalam pada itu, jumlah kemalangan jalan raya sepanjang RXZ Members 8.0 meningkat kepada 29 kes berbanding 11 kes pada penganjuran tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, lima kes kemalangan maut direkodkan melibatkan lima kematian, iaitu peningkatan berbanding dua kes maut pada 2025.

Mangsa yang terkorban terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 48 tahun. Dua kes maut melibatkan penunggang motosikal Yamaha RXZ di Kuala Terengganu dan Kemaman, manakala tiga lagi membabitkan motosikal jenis lain di Kemaman serta Dungun.

Bagi kes jenayah pula, sebanyak empat kes dicatatkan sepanjang program berlangsung berbanding enam kes pada RXZ Members 7.0 tahun lalu. Polis turut merekodkan satu kes kehilangan motosikal jenis Yamaha 125 Z yang dilaporkan hilang di luar Litar Pemotoran Gong Badak.

Selain itu, satu kes penipuan komersil turut dilaporkan membabitkan tawaran inap desa tidak wujud di Wakaf Tengah, Kuala Nerus dengan jumlah kerugian sebanyak RM1,200.

Sementara itu, polis menjalankan 15 pemeriksaan berkaitan kes narkotik di sekitar Kuala Terengganu sepanjang tempoh penganjuran RXZ Members 8.0. Tujuh pemeriksaan dilakukan di lokasi inap desa, manakala selebihnya di sekitar tapak program.

Hasil operasi tersebut, lima kes direkodkan dengan tiga tangkapan membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]