Hasrat seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah selepas menghadiri perhimpunan RXZ Members 8.0 berakhir dengan tragedi apabila maut dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Bukit Besi.

Penuntut IPTS Jadi Mangsa Keenam Maut Selepas Hadiri RXZ Members 8.0

Mangsa dikenali sebagai Arissa Shazzira Zainudin, 21, yang berasal dari Taman Bukit Goh Perdana, Kuantan, Pahang. Insiden itu turut menjadikan beliau sebagai mangsa keenam yang terkorban dalam kemalangan jalan raya selepas menghadiri program berkenaan. Menurut maklumat, pihak polis menerima laporan daripada orang awam mengenai kemalangan tersebut kira-kira jam 5.10 petang.

Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan sebuah motosikal Yamaha 125ZR yang ditunggang mangsa. Kedua-dua kenderaan dipercayai datang dari arah Kuala Terengganu selepas menghadiri RXZ Members 8.0.

Difahamkan, pemandu Mitsubishi Triton sedang dalam perjalanan pulang ke Ampang, Selangor, manakala mangsa pula menuju ke Kuantan, Pahang.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda itu berhenti di lorong kecemasan untuk berehat. Tidak lama kemudian, motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah belakang sebelum melanggar bahagian belakang Mitsubishi Triton berkenaan.

Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke tengah jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan yang dialami.

Pemergian Allahyarhamah turut mengundang rasa hiba dalam kalangan orang ramai yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Kredit: Kredit: NST Online

 

[fbcomments]