Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menjelaskan bahawa semua prosedur pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dilaksanakan mengikut tatacara ditetapkan dalam kes melibatkan seorang juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah.
![]()
AKPS Jelaskan Bagasi Juruterbang Lepasi Saringan KLIA, Tiada Imej Mencurigakan Dikesan
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bagasi milik individu terbabit telah melalui saringan keselamatan wajib sebelum penerbangan ke Indonesia pada 28 Julai lalu. Menurut beliau, hasil pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas tidak menunjukkan sebarang imej yang mencurigakan, sekali gus membolehkan bagasi itu melepasi pemeriksaan seperti biasa.
Beliau menjelaskan sistem saringan di KLIA tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi semata-mata kerana ia menggabungkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dengan penilaian pegawai keselamatan. AI berfungsi membantu proses mengenal pasti tahap risiko sesuatu bagasi, namun keputusan akhir sama ada bagasi perlu menjalani pemeriksaan lanjut tetap dibuat oleh pegawai saringan.
![]()
Katanya, memandangkan bagasi berkenaan tidak diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi, ia tidak perlu melalui pemeriksaan sekunder sebelum dibenarkan menaiki pesawat.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily memaklumkan AKPS kini menunggu hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa Indonesia bagi mengenal pasti bagaimana bahan terlarang tersebut boleh melepasi saringan keselamatan di KLIA.
![]()
Menurut beliau, antara perkara yang sedang diteliti ialah kemungkinan kaedah pembungkusan bahan terlarang itu menyebabkan ia tidak dapat dikesan oleh mesin pengimbas. Justeru, AKPS akan meneliti modus operandi yang digunakan sebaik siasatan selesai. Beliau turut memaklumkan PDRM difahamkan sedang menghantar pegawai ke Indonesia bagi menjalinkan kerjasama dengan pihak narkotik negara itu dalam membantu siasatan.
Bagaimanapun, beliau enggan mengesahkan sama ada bahan terlarang yang dirampas di Indonesia berada di dalam bagasi yang sama melalui pemeriksaan di KLIA kerana perkara tersebut masih di bawah siasatan PDRM.
Pada masa sama, Mohd Shuhaily mempertahankan kecekapan petugas saringan AKPS dan memberi jaminan bahawa semua prosedur keselamatan sedia ada telah dilaksanakan sepenuhnya mengikut standard operasi. Beliau berkata, sebarang penambahbaikan terhadap sistem saringan akan dipertimbangkan sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat keperluan untuk berbuat demikian.
![]()
Terdahulu, media Indonesia melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta selepas pihak Kastam dan Cukai Indonesia menemui lebih 70,000 pil ekstasi serta sejumlah syabu di dalam bagasi miliknya.
Kredit: Buletin TV3