Seorang bekas pekerja di sebuah premis minuman dan aiskrim Momoyo di Seksyen 18, Shah Alam mendakwa dirinya diberhentikan serta-merta selepas berlaku pertikaian dengan majikan berkaitan waktu menunaikan solat.
![]()
Dakwa Dipecat Selepas Pertikaian Waktu Solat, Bekas Pekerja Momoyo Buat Laporan Polis
Dakwaan itu dikongsikan suaminya, Mohamad Hakimi, yang turut memuat naik salinan laporan polis dibuat isterinya pada Ahad sebagai rekod berhubung kejadian berkenaan.
Berdasarkan laporan tersebut, pertikaian berlaku kira-kira 8.30 malam ketika wanita berkenaan mahu menunaikan solat. Dia mendakwa dirinya bersama beberapa pekerja lain pernah dimarahi kerana menunaikan solat secara berkala, sedangkan mereka dikatakan pergi secara bergilir-gilir dan bukannya pada masa yang sama.
Wanita itu kemudiannya dimaklumkan supaya tidak hadir bekerja mulai 24 Ogos 2026, sebelum mendapati dirinya dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp pekerja kira-kira 11.20 malam.
![]()
Laporan polis dibuat bagi melindungi kepentingannya sekiranya timbul sebarang pertikaian berkaitan pekerjaan, termasuk soal pembayaran gaji atau bayaran lain susulan pemberhentian tanpa notis, selain boleh dijadikan rujukan kepada Pejabat Buruh jika diperlukan.
Dalam perkembangan sama, Momoyo Malaysia memaklumkan pihaknya mengambil serius dakwaan yang tular berkenaan dan kini sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak francais serta pengurus kawasan yang terlibat. Menurut syarikat itu, semakan dalaman sedang dijalankan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkara berkenaan.
Momoyo Malaysia turut menegaskan bahawa pihaknya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan atau keputusan awal selagi semua fakta berkaitan kejadian belum disahkan melalui siasatan.
Kredit: mStar