Indonesia sekali lagi dikejutkan dengan tragedi laut selepas sebuah feri membawa ratusan penumpang dilaporkan terbalik ketika dalam perjalanan di Laut Jawa pada awal pagi Ahad.
![]()
Feri Bawa 243 Orang Terbalik Di Laut Jawa, 6 Maut Manakala 129 Masih Hilang
Feri Virgo Transport 8 yang membawa 213 penumpang bersama 30 anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari Surabaya, Jawa Timur menuju ke Kalimantan sebelum komunikasi dengan syarikat perkapalannya terputus. Setakat ini, sekurang-kurangnya enam orang disahkan maut manakala 129 lagi masih belum ditemui.
Seorang mangsa terselamat, Rinto Arahap, 33, menceritakan keadaan cemas ketika kejadian berlaku apabila kebanyakan penumpang sedang tidur dan kapal mula senget kira-kira jam 2 pagi. Menurut Rinto, kira-kira lima jam selepas perjalanan bermula, penumpang terdengar bunyi seperti logam pecah sebelum keadaan bertukar kecoh apabila kapal semakin condong.
Keadaan menjadi semakin panik apabila penumpang mula menjerit, berebut mendapatkan jaket keselamatan, malah ada yang naik ke atas meja dan saling menolak untuk menyelamatkan diri.
![]()
Rinto mendakwa tiada amaran diberikan oleh kru kapal ketika keadaan mula berubah. Sebaliknya, seorang individu dikatakan hanya menjerit memberi amaran bahawa kapal tersebut sudah mula senget.
Dia sempat mendapatkan jaket keselamatan sebelum feri itu akhirnya terbalik. Rinto kemudian hanyut di laut selama kira-kira empat jam bersama mangsa lain sebelum berjaya diselamatkan.
Dalam operasi menyelamat, pasukan penyelamat berdepan keadaan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 2.5 meter. Ketua operasi mencari dan menyelamat, Putu Sudayana, berkata keadaan itu menyukarkan usaha pasukan untuk sampai ke lokasi kejadian.
Rakaman yang dikongsikan agensi penyelamat pula memperlihatkan Virgo Transport 8 yang berwarna merah dan hitam berada dalam keadaan terbalik serta sebahagiannya tenggelam, dengan bahagian bawah kapal jelas kelihatan di permukaan laut.
![]()
Pegawai agensi penyelamat, Edy Prakoso, berkata feri berkenaan dipercayai senget teruk ke satu sisi selepas ombak kuat menghentam bahagian kanan kapal.
Operasi mencari dan menyelamat kini diteruskan dengan kekuatan 622 anggota serta kira-kira 12 kapal bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
Insiden berkenaan turut menambah kepada siri kemalangan laut yang berlaku di Indonesia, sebuah negara kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau dan banyak bergantung kepada pengangkutan air untuk kegunaan harian serta sektor pelancongan.
Kredit: Harian Metro