Seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan rabies pada Ahad, selepas dipercayai digigit anjing terbiar pada Ogos lalu.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, mangsa mendapatkan rawatan selepas kejadian itu tetapi tidak menerima profilaksis pascapendedahan (PEP) rabies.

Digigit Anjing Terbiar Ogos Lalu, Lelaki 31 Tahun Meninggal Dunia Akibat Rabies

Pada 18 September, dia mula mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas pada lengan kanan sebelum keadaan bertambah serius empat hari kemudian apabila mengalami kesukaran menelan, hidrofobia, aerofobia, keresahan serta perubahan tingkah laku.

Mangsa kembali mendapatkan rawatan pada 23 September sebelum dirujuk untuk rawatan lanjut dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Sampel klinikal yang diambil pada 24 September kemudiannya mengesahkan jangkitan rabies berdasarkan keputusan makmal pada 26 September, sebelum mangsa meninggal dunia pada 27 September.

Kes itu menjadi kes rabies dalam kalangan manusia pertama dilaporkan di Kedah sejak 1998. Susulan pengesahan berkenaan, JKN Kedah bersama agensi berkaitan menjalankan pengesanan kes secara aktif, memperkukuh pemantauan kes gigitan haiwan serta mengambil langkah kawalan di kawasan terlibat bagi mengenal pasti sumber dan laluan jangkitan.

Orang ramai yang digigit atau dicakar haiwan dinasihatkan mencuci luka menggunakan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya 15 minit sebelum mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan. Mereka yang terdedah kepada air liur haiwan berisiko juga perlu mendapatkan penilaian walaupun luka sudah sembuh dan tidak menunggu sehingga gejala muncul.

JKN Kedah turut mengingatkan bahawa rabies boleh membawa maut tetapi boleh dicegah, selain merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Kredit: Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kedah

 

[fbcomments]