Rekaan rokok elektronik atau vape yang semakin menyerupai barangan kegunaan harian menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendidik dan ibu bapa apabila peranti berkenaan kini boleh disamarkan sehingga kelihatan seperti alat tulis.

Terbaharu, sebuah vape yang mempunyai rupa seakan-akan pen penanda Artline 100 dilaporkan ditemui dalam kalangan pelajar selepas seorang murid membuat laporan kepada gurunya.

Vape Menyerupai Marker Pen Artline 100 Ditemui Di Sekolah, Rupanya Guna Sticker

Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna Threads Abcdefghijaz_, yang memuat naik gambar peranti berkenaan. Dari segi rupa luaran, vape tersebut kelihatan seperti marker pen yang biasa digunakan oleh guru di sekolah. Difahamkan, rupa tersebut dihasilkan menerusi pelekat yang membalut bahagian luar vape, dengan pelbagai rekaan pelekat dikatakan tersedia bagi menyamarkan peranti berkenaan dan mengelirukan sesiapa yang tidak memerhatikannya dengan teliti.

Guru terbabit hanya dapat merampas vape itu selepas menerima laporan daripada seorang pelajar lain. Perkongsian berkenaan kemudian mengundang kebimbangan netizen, khususnya mengenai akses golongan bawah umur kepada produk vape dan nikotin. Penjualan produk nikotin kepada individu bawah umur adalah dilarang di bawah Akta Racun 1952 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau hukuman penjara sehingga setahun.

Antara reaksi yang dikongsikan termasuk kebimbangan ibu bapa terhadap cabaran mendidik anak-anak pada masa kini, selain kritikan terhadap pihak yang menghasilkan rekaan sedemikian kerana dikhuatiri memudahkan pelajar menyembunyikan vape dan membawanya ke sekolah. Seorang ibu turut berkongsi bahawa anaknya yang baru berada di Darjah 3 sudah dinasihati supaya menjauhi vape dan rokok, namun dia tetap bimbang pengaruh rakan apabila anaknya memasuki alam persekolahan menengah kelak.

Dalam pada itu, terdapat juga cadangan supaya pelajar yang berani membuat laporan mengenai penggunaan vape di sekolah diberikan ganjaran sebagai galakan untuk membantu guru menangani masalah tersebut. Sebelum ini, turut pernah berlaku kes pelajar menggunakan botol air yang mempunyai ruang tersembunyi untuk menyimpan vape bagi membawanya masuk ke sekolah.

Isu berkenaan sekali lagi mengundang persoalan mengenai cara vape disamarkan dalam bentuk barangan biasa, selain kebimbangan terhadap usaha menyembunyikan peranti tersebut daripada pengetahuan guru dan ibu bapa.

Kredit: Thread Abcdefghijaz_

[fbcomments]