Tindakan seorang lelaki yang tiba-tiba berhenti dan melutut di tengah jalan raya mencuri perhatian selepas rakaman kejadian itu tersebar di media sosial baru-baru ini.

Lelaki Berjubah Tiba-Tiba Sujud Di Tengah Jalan, Pemandu Terpaksa Elak Demi Keselamatan

Video yang dikongsikan pengguna Threads Natasyaxo, menunjukkan lelaki berkenaan yang memakai jubah putih dan kopiah berada di atas jalan sebelum melakukan aksi seakan-akan sujud di garisan penanda arah. Kejadian itu dipercayai berlaku berhampiran kawasan De Palma, Ampang.

Ketika kejadian, keadaan jalan raya dilihat agak sibuk dengan beberapa kenderaan terpaksa memperlahankan kenderaan serta mengubah haluan bagi mengelakkan lelaki tersebut. Bunyi hon turut kedengaran daripada pengguna jalan raya yang cuba memberi amaran kepadanya.

Selepas beberapa ketika, lelaki terbabit kemudian bangun dan berjalan melintasi jalan seperti biasa, walaupun masih dikelilingi kenderaan yang sedang bergerak. Situasi berkenaan menimbulkan kebimbangan kerana tindakan itu bukan sahaja boleh membahayakan dirinya, malah berisiko menyebabkan kemalangan melibatkan pengguna jalan raya lain.

Menerusi kapsyen hantaran tersebut, Natasyaxo turut mempersoalkan keadaan berkenaan selepas mendakwa itu merupakan kali pertama dia memasuki kawasan Ampang.

Perkongsian itu kemudian mendapat perhatian netizen. Selain menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan lelaki berkenaan dan pemandu yang melalui kawasan tersebut, beberapa pengguna turut berkongsi rakaman serta pengalaman mendakwa pernah terserempak dengan lelaki sama melakukan aksi pelik di sekitar lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan berhubung kejadian tersebut. Pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap keadaan sekeliling bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Kredit: Kosmo!, Thread Natasyaxo

 

[fbcomments]