Sikap pemurah seorang individu dikenali sebagai “Abang Minyak Hitam Jalanan”, Mohd Yusof Mohd Noor, akhirnya mendapat penghargaan apabila beliau menerima tajaan dua tiket penerbangan untuk menunaikan umrah.

Abang Minyak Hitam Jalanan Terima Tajaan Umrah, Keikhlasan Raih Perhatian

Pengumuman tersebut dibuat oleh Zulkifli Hasan yang memaklumkan hadiah berkenaan diberikan kerana Mohd Yusof belum pernah menunaikan ibadah haji atau umrah sebelum ini. Katanya, tawaran itu terbuka untuk beliau memilih sendiri individu yang ingin dibawa bersama sebagai peneman dalam perjalanan tersebut.

Mohd Yusof sebelum ini dikenali ramai di media sosial kerana kerap membantu orang awam, khususnya mereka yang memerlukan bantuan di jalanan. Antara yang mencuri perhatian ialah tindakannya membantu seorang lelaki berbangsa Cina dikenali sebagai Dicky yang mengalami kerosakan motosikal, tanpa mengenakan sebarang bayaran. Malah, beliau turut memberikan wang infak kepada individu tersebut, sekali gus menyentuh hati ramai.

Mengulas mengenai penghargaan yang diterima, Mohd Yusof berkata segala yang dilakukannya adalah kerana Allah SWT dan bukan mengharapkan balasan. Beliau mengakui tidak menjangka kebaikan kecil yang dilakukan boleh membawa kepada peluang seperti ini.

Tambahnya lagi, dia sekadar menjalankan amanah terhadap sumbangan infak yang diterima serta tanggungjawab sebagai pekerja, selain mengakui tidak selesa menyimpan wang infak dalam jumlah besar kerana bimbang berlaku kesilapan atau penyalahgunaan.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]