Seorang pegawai tentera berusia 31 tahun ditahan selepas dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan maut membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing di ibu negara.

Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Ford Fiesta yang dipandunya telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV berkenaan.

Pegawai Tentera Ditahan, Disyaki Pandu Mabuk Hingga Sebabkan Kematian

Dalam kejadian itu, MPV tersebut membawa dua penumpang warga Bangladesh, iaitu seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang wanita berusia 20 tahun yang baharu tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Akibat pelanggaran tersebut, penumpang lelaki yang berada di tempat duduk barisan tengah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Penumpang wanita pula dilaporkan mengalami kecederaan pada anggota badan dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, manakala pemandu e-hailing turut cedera di kepala. Dalam masa sama, pemandu Ford Fiesta bersama seorang penumpang wanita tempatan berusia 36 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurut pihak polis, ujian pernafasan alkohol ke atas pemandu Ford Fiesta mendapati bacaan melebihi had yang dibenarkan, namun ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan negatif. Susulan itu, lelaki terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]