Seperti yang kita semua saksikan, terdapat ramai sudah individu yang menjadi mangsa kemalangan melibatkan pemandu mabuk ini. Nampaknya kemarahan netizen terhadap golongan yang mementingkan diri ini semakin membuak-buak.
Mana tidaknya, orang lain yang berseronok minum minuman keras, orang lain pula yang menangung risiko dan kesan buruknya sehingga ada yang terkorban nyawa.
Akhirnya, berhadapan juga tuduhan membunuh
Akhirnya! Lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk melawan arus Jalan Pintasan Kuantan, sehingga merempuh kenderaan penyelia Alam Flora sehingga menyebabkan kematian bakal didakwa dengan tuduhan membunuh.
Teoh Kian Peng, 42, yang berkemeja-T putih dan berseluar pendek hitam kelihatan tenang, mengaku faham terhadap pertuduhan ke atasnya yang dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Selamat datang ke seksyen 302
Tertuduh telah dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya juga tidak menawarkan jaminan memandangkan pertuduhan itu merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin dan memohon supaya tertuduh direman di Penjara Penor sementara menunggu perbicaraan.
Mabuk dan lawan arus
Irwan Herman, 41, penyelia di Alam Flora Sdn Bhd, maut selepas kereta Toyota Yaris yang dipandunya dirempuh kenderaan pacuan empat roda Toyota C-HR dipandu seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.
Siasatan awal polis mendapati kenderaan C-HR itu dipandu secara melawan arus sejauh tujuh kilometer dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu sebelum bertembung dengan kereta mangsa yang dalam perjalanan ke Gebeng di sini untuk bekerja syif malam pada hari kejadian.