Sebuah pertelingkahan rumah tangga bertukar menjadi insiden mengejutkan apabila seorang lelaki bertindak di luar kawalan dengan membakar kereta milik isterinya dalam kejadian yang berlaku berhampiran Hospital Columbia, Jalan Tebrau pada malam semalam.

Tindakan tersebut mengakibatkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM90,000.

Video di bawah:

https://x.com/kaiyumi42/status/1886212398652272762

Perselisihan Faham Punca Suami Bakar Kereta Isteri Atas Jalan Raya

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, mengesahkan kejadian itu melibatkan seorang lelaki berusia 25 tahun dan isterinya yang berumur 21 tahun.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, insiden tersebut berlaku sekitar jam 10.20 malam. Suspek yang menaiki kenderaan Toyota Vellfire didapati menghalang laluan kereta isterinya, yang ketika itu dinaiki bersama dua wanita lain serta seorang lelaki.

“Suspek bertindak menyimbah petrol dan membakar kereta sebelum melarikan diri dari lokasi dengan Toyota Vellfire,” ujar Raub.

Akibat perbuatan itu, kereta jenis Toyota Vios milik mangsa terbakar hampir 80 peratus. Terkejut dengan kejadian tersebut, wanita terbabit segera tampil membuat laporan polis di Balai Polis Majidee.

Pihak polis kini sedang giat memburu suspek bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kebakaran dengan niat khianat, yang membawa hukuman berat jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, insiden tersebut turut tular di media sosial selepas sebuah video yang dirakam oleh pengguna jalan raya lain menunjukkan detik cemas ketika kereta yang dinaiki empat individu itu terbakar.

Pihak berkuasa menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini untuk tampil membantu siasatan bagi mempercepatkan proses penyiasatan.

Kredit: Buletin TV3, X kaiyumi42

 

[fbcomments]