Seorang juruwang wanita berusia 17 tahun didakwa menjadi mangsa kekasaran sekumpulan individu yang dipercayai daripada sebuah keluarga dalam kejadian di sebuah pasar mini di Taman Bertam Perdana, Melaka, malam Ahad lalu.
![]()
Juruwang 17 Tahun Ditolak, Ditendang Sekeluarga Gara-Gara Didakwa Tidak Senyum Kepada Pelanggan
Kejadian dipercayai bermula kira-kira jam 9.30 malam apabila seorang pelanggan wanita menegur rakan sekerja mangsa yang bertugas di kaunter pembayaran kerana didakwa tidak menunjukkan senyuman ketika melayan pelanggan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, pelanggan wanita itu kemudian keluar dari premis sebelum suaminya datang semula bersama empat orang anak mereka.
Lelaki berkenaan didakwa membaling sekotak rokok ke arah mangsa sambil mempersoalkan siapa yang membaling rokok ke arah isterinya. Dia kemudian menolak mangsa dengan kuat sehingga menyebabkan remaja itu terdorong ke arah peti sejuk. Tidak lama selepas itu, seorang wanita yang dipercayai anak perempuan lelaki terbabit turut masuk ke dalam kedai sebelum menengking dan menendang kaki mangsa beberapa kali.
![]()
Menurut Halim, keadaan akhirnya berjaya ditenangkan oleh wanita yang mencetuskan perselisihan pada awal kejadian. Keluarga berkenaan kemudian meninggalkan premis menggunakan sebuah kenderaan berwarna biru gelap.
Mangsa membuat laporan polis pada Isnin untuk tindakan lanjut selain mendapatkan rawatan di hospital.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Polis kini sedang mengesan semua individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
Terdahulu, rakaman video berdurasi satu minit 20 saat yang memaparkan kejadian berkenaan tular di media sosial selepas dikongsikan seorang individu yang mendakwa dirinya kakak kepada mangsa. Individu itu turut meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.
Kredit: Harian Metro, Thread capricedaddycap