Sebanyak tiga tan dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM156 juta dipercayai diseludup menggunakan kemudahan di dua pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), iaitu di Tawau dan Labuan, sejak Ogos 2024.
![]()
21 Transaksi Dadah Dikesan Di Dua Pangkalan TUDM, Nilai Syabu Cecah RM156 Juta
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegiatan tersebut dikesan berlaku menerusi 21 transaksi yang melibatkan kedua-dua pangkalan berkenaan. Daripada jumlah itu, tujuh transaksi direkodkan melalui Pangkalan TUDM Tawau, manakala 14 lagi melibatkan Pangkalan TUDM Labuan.
Beliau mendedahkan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) dalam sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. Soalan tersebut menyentuh hasil risikan pihak berkuasa serta dakwaan bahawa sindiket berkenaan sudah menjalankan kegiatan penyeludupan untuk tempoh yang lama.
Sebelum ini, polis mengesahkan penahanan 13 individu bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai menggunakan kemudahan penerbangan tentera untuk menjalankan operasi mereka.
![]()
Mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh anggota dan pegawai TUDM serta enam orang awam, termasuk dua individu yang dipercayai bertindak sebagai penyelaras sindiket. Kesemua tangkapan dilakukan dalam beberapa operasi di sekitar Lembah Klang, Labuan dan Sabah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini turut memaklumkan bahawa seorang juruterbang TUDM yang ditahan dipercayai mempunyai peranan sebagai penyelaras serta pengangkut dadah bagi sindiket berkenaan.
Siasatan terhadap kegiatan itu turut dikaitkan dengan penemuan 96.6 kilogram syabu bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang. Hasil siasatan awal mendapati bekalan dadah dipercayai dibawa dari Subang ke Labuan dan Tawau menggunakan rangkaian pengangkutan yang dieksploitasi sindiket tersebut.
![]()
Bagaimanapun, pihak polis tidak menolak kemungkinan dadah berkenaan turut dihantar ke lokasi lain selain dua destinasi yang dikenal pasti setakat ini.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan operasi sindiket, termasuk jumlah bayaran atau upah yang diterima oleh individu terbabit bagi melaksanakan kegiatan penyeludupan berkenaan.
Kredit: Berita Harian