Aktres popular Bollywood yang pernah muncul dalam filem Jai Ho, Sana Khan mengejutkan semua orang dengan berita pernikahannya dengan seorang ulama, Mufti Anas yang berasal dari Surat, Gujarat.
Memetik laporan The New Indian Express, pelakon dan juga model Bollywood tersebut selamat bernikah pada 20 November lalu sebelum memuat naik posting di laman Instagram miliknya. Dia kelihatan berpakaian pengantin berwarna merah dan gambar itu menjadi viral.
Saling sayang-menyayangi kerana Allah. Hubungan halal kerana Allah. Semoga Allah terus menyatukan kita di dunia ini dan bertemu di syurga.
Menerusi posting berbeza, wanita berusia 33 tahun tersebut turut berkongsi beberapa gambar persalinan busana yang digayakan sepanjang majlis perkahwinannya dengan ulama tersebut.
Terdahulu, dia nekad untuk berhijrah sejak dua bulan lalu bagi mendekatkan diri pada sang pencipta selain berharap agar dosa-dosanya diampunkan Allah SWT.