Penyanyi dan pelakon, Amira Othman memaklumkan dirinya bersedia memikul peranan sebagai ibu tiri kepada Nur Fatima Aisya, anak sulung suaminya yang juga aktor popular, Fattah Amin.

Amira Othman Terima Tanggungjawab Sebagai Ibu Tiri, Harap Mampu Jadi Isteri Yang Baik

Menurut Amira, 32, perkara itu bukan sesuatu yang membebankan kerana sejak awal perkenalan lagi dia menerima kehadiran Fattah bersama tanggungjawab yang sedia ada.

Amira, atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, mengakui dia sememangnya gemar melayan kanak-kanak dan yakin mampu menyesuaikan diri dengan baik dalam fasa baharunya sebagai seorang isteri.

“Bagi saya, siapa pun yang kita pilih sebagai pasangan hidup, kita perlu terima dirinya seadanya. Begitu juga dengan Fattah yang menerima saya dalam segala keadaan. Walaupun saya belum ada anak sendiri, saya anggap ini satu lumrah yang perlu dihadapi dengan hati terbuka,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut meluahkan harapan agar dapat menjadi isteri yang solehah serta melalui perjalanan rumah tangga dengan sebaik mungkin.

“Saya percaya setiap orang akan melalui fasa baharu dalam kehidupan. Sama ada bersedia atau tidak, saya tiada jawapan, namun apa yang penting adalah usaha untuk menjalaninya dengan baik. Mudah-mudahan saya mampu jadi isteri yang baik buat Fattah,” ujarnya.

Untuk rekod, pasangan ini selamat disatukan dalam majlis akad nikah di Sepang, Selangor, pada malam Ahad lalu. Upacara bersejarah itu disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dengan sekali lafaz.

Kehidupan pasangan ini selepas bergelar suami isteri bakal disiarkan secara eksklusif menerusi program Setulus Takdir: Fattah Amira di Unifi TV bermula 19 September, setiap Jumaat jam 9 malam.

Kredit: OhBulan!

 

 

 

[fbcomments]