Seorang lelaki berusia 49 tahun dijatuhi hukuman penjara selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di Kulim selepas mengaku bersalah mencuri beberapa barangan keperluan di sebuah pasar raya di Lunas, minggu lalu.

Bapa 2 Anak Dipenjara 7 Hari Selepas Mengaku Bersalah Curi Barangan Keperluan di Pasar Raya

Tertuduh, Muhammad Zani Ishak, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri dua bungkusan serbuk Milo seberat 1.8 kilogram, empat bungkusan serbuk Milo 900 gram, selain beberapa botol syampu jenama Head & Shoulders dan Clear Men Deep Clean dengan nilai keseluruhan RM252.60.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 10.52 pagi pada 15 Julai lalu di sebuah pasar raya di Lunas. Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Najihah Ahmad Zulkarnain, memohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan. Beliau memaklumkan bahawa anak guamnya sudah berkahwin, mempunyai dua orang anak dan kini sedang berusaha mendapatkan pekerjaan.

Peguam turut memaklumkan bahawa Muhammad Zani menyesali perbuatannya serta menjelaskan barangan yang diambil adalah barangan keperluan. Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman yang setimpal selepas memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh dipercayai berniat menjual barangan berkenaan bagi memperoleh wang.

Selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah serta hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh hari terhadap Muhammad Zani. Hukuman itu berkuat kuasa bermula dari tarikh dia ditahan.

Kredit: Buletin TV3

[fbcomments]