Ketika Olimpik Paris 2024 masih hangat dibicarakan dengan pelbagai kejayaan atlet dari seluruh dunia, timbul satu isu yang tidak dijangka melibatkan salah satu simbol kemenangan yang paling diidamkan iaitu pingat Olimpik.
Warna Pingat Luntur, Atlet Kecewa Dengan Kualiti
Nyjah Huston, atlet Amerika Syarikat yang meraih gangsa dalam acara street lelaki, baru-baru ini menzahirkan rasa kecewa apabila pingat gangsa yang dimenanginya menunjukkan tanda-tanda kerosakan.
Dalam satu perkongsian di Instagram Story, Huston mendedahkan keadaan terkini pingat gangsa miliknya setelah seminggu pulang ke tanah air.
Pingat yang asalnya berkilau dan mengagumkan kini sudah pudar, lusuh, dan terkopek di beberapa bahagian, malah ukiran pada pingat itu juga terjejas.
Semua ini berlaku hanya kerana bersentuhan dengan kulit berpeluh dan dipakai oleh rakannya selama beberapa hari.
Huston, yang terpaksa akur di tempat ketiga di belakang Yuto Horigome dari Jepun (pemegang emas) dan Jagger Eaton dari AS (pemegang perak), tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya.
Beliau menyatakan bahawa sesuatu yang begitu penting seperti pingat Olimpik seharusnya dihasilkan dengan mutu yang lebih tinggi, menegaskan bahawa kualiti pingat ini jauh daripada jangkaannya.
Untuk pengetahuan, menurut laporan Forbes, pingat Olimpik Paris 2024 bukan sahaja istimewa dari segi rekaan, tetapi juga dari segi komposisi bahan.
Pingat emas, misalnya, mempunyai berat 529 gram dan diperbuat daripada 95.4% silver, 6 gram emas tulen, dan 18 gram besi, dengan anggaran nilai AS$950 (RM4,250).
Pingat perak pula mempunyai berat 525 gram dengan nilai AS$486 (RM2,174), manakala pingat gangsa, yang paling kontroversi dalam kisah ini, hanya bernilai sekitar AS$13 (RM58) dan berat 455 gram, terdiri daripada tembaga, zink, dan besi.
Insiden ini pastinya mencetuskan perbincangan lebih lanjut mengenai jangka hayat dan ketahanan pingat yang sepatutnya menjadi lambang kebanggaan abadi bagi atlet yang telah mencurahkan segala usaha di pentas terbesar dunia sukan.
Kredit: Instagram Nyjah, Berita Harian