Penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul dengan buah tangan terbaharunya berjudul Basyirah yang dilancarkan sejak tengah malam tadi.
Basyirah adalah ciptaan pengacara dan penulis lirik terkenal, Ahamd Fedtri Yahya dan komposernya Hafiz Hamidun, membuatkan lagu ini begitu puitis dengan bermelodikan Timur Tengah.
Basyirah terkandung pelbagai makna tersirat
Menurut penulis lirik lagu yang begitu puitis ini, Basyirah ialah yang membawa khabar gembira, berasal daripada perkataan busyra.
“Saat satu dunia dilanda hiba dan pudar semangat pada segala ujian yang tak berpenghujung, satu kekuatan yang kita ada ialah menjadi penyerbar motivasi dan pendoa setia.
“Ditulis khas untuk biduanita ini. Dirombak kata beberapa kali supaya menjadi sebati dan selari dengan vokal gemilangnya.
“Sebenarnya rintihan dalam lirik ini bukan semata-mata kerana ledakan luka COVID-19, malah jika diselami ada makna yang tersirat…,” tulisnya di Twitter.
Fedtri menangis ketika hasilkan lirik lagu
Menerusi artikel Harian Metro, terdahulu Fedtri mendedahkan bahawa Basyirah merupakan satu-satunya karya lirik yang berjaya meruntunkan hatinya sehingga mengalirkan air mata.
“Ini satu-satunya lagu yang saya hasilkan lirik sambil menangis,”
Kongsinya lagi, dia juga terpaksa mengubah lirik lagu itu beberapa kali memandangkan ia adalah karya dedikasi yang istimewa.
Difahamkan, Basyirah kini berada di tangga teratas dalam carta platform i-Tunes, kurang 24 jam sejak dimuatnaik pada tengah malam Khamis.