Hati ibu mana tidak sedih kehilangan anak yang dikandung 9 bulan dan diberi kasih sayang sepenuhnya dalam sekelip mata. Lebih-lebih lagi apabila si manja meninggal dunia di tangan pengasuh.
Sesak nafas
Menurut kenyataan dari Metro, Bayi lelaki berusia 10 bulan itu meninggal dunia dipercayai sesak nafas ketika berada di rumah pengasuhnya di Gelang Patah, Iskandar Puteri, petang semalam.
Muhammad Nufail Mohd Nasir atau dipanggil Noah tiba-tiba didapati mengalami sesak nafas oleh pengasuhnya pada jam 4.20 petang.
“Pada jam 4.20 petang, bayi itu didakwa tiba-tiba mengalami sesak nafas sebelum pengasuh dan suaminya membawa Noah ke Klinik Kesihatan Gelang Patah lima minit kemudian bagi mendapatkan rawatan. “
“Namun setibanya mereka di wad kecemasan di klinik itu jam 4.50 petang, bayi malang itu disahkan sudah meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya.” – Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar
Turut menjaga bayi dan kanak-kanak lain
Difahamkan pengasuh berkenaan juga menjaga seramai enam kanak-kanak dan tiga bayi di rumahnya yang masing-masing berusia antara dua bulan ke lapan tahun.
“Menurut pengasuh berkenaan, pada hari kejadian Noah berada dalam keadaan tidak ceria seperti biasa dan kurang minum susu serta makanan. Apabila pengadu menyuapkan susu, si mati menolak dan tidak mahu minum.” – Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar
Tiada sebarang kecederaan
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri itu lagi, semasa dalam jagaan pengasuh berkenaan, bayi berkenaan juga didapati tidak ada mengalami kecederaan dan tidak pernah jatuh atau pun menunjukkan keadaan yang mencurigakan pada tubuh badannya.
Malah hasil pemeriksaan pada anggota badan mangsa juga tidak menunjukkan sebarang kecederaan.