Seorang wanita yang pernah bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditahan selepas disyaki menolak seorang warga emas berusia 79 tahun sehingga terjatuh ke dalam longkang di Taman OUG, Jumaat lalu.
Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu menyebabkan mangsa, yang juga bekas pemain hoki Selangor pada era 1960-an, mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala, tangan kiri dan belakang badan.
![]()
CCTV Rakam Warga Emas Ditolak Ke Longkang, Bekas Calon Bebas PRU15 Ditahan
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, siasatan awal mendapati mangsa memasuki sebuah kedai jahit milik rakannya sebelum memaklumkan bahawa dirinya diekori suspek. Beberapa minit kemudian, ketika mangsa keluar dari kedai berkenaan, suspek yang berada di luar premis dipercayai secara tiba-tiba menolaknya sehingga terjatuh ke dalam longkang. Kejadian itu turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
Rakan mangsa membuat laporan polis pada jam 12.37 tengah hari pada hari sama sebelum suspek ditahan pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di OUG. Suspek berusia 59 tahun itu juga merupakan seorang pesara. Polis turut merampas pakaian yang dipercayai dipakai ketika kejadian.
![]()
Bagaimanapun, suspek menafikan menolak mangsa ketika ditemu bual dan tidak memberikan kerjasama berhubung motif kejadian. Polis turut mendapati suspek tidak mengenali mangsa. Suspek direman selama sehari, manakala Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengarahkan pihak pembela membawanya menjalani rawatan psikiatri bagi membantu siasatan.
Sementara itu, mangsa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan ditempatkan di wad kecemasan selama empat hari sebelum dibenarkan pulang pada 21 September lalu. Polis masih menunggu laporan lengkap pakar perubatan PPUM termasuk rakaman percakapan doktor sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Kredit: Berita Harian