Baru-baru ini tular kisah Pak Nor, seorang warga emas yang dilaporkan hidup dalam keadaan serba kekurangan selepas dirantai dan dikurung di sebuah pondok usang berdekatan rumah peninggalan bapanya di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, Kelantan.
Lelaki berusia lebih 70 tahun itu dikatakan telah dirantai oleh adiknya sendiri selama kira-kira 50 tahun. Bagaimanapun, tindakan tersebut bukan dilakukan suka-suka, sebaliknya terpaksa dibuat oleh adiknya yang merupakan seorang ibu tunggal demi menjaga keselamatan Pak Nor serta penduduk kampung.
![]()
Selepas 50 Tahun Dirantai Dalam Pondok Usang, Keadaan Pak Nor Kini Terbela
Kisah berkenaan dikongsikan oleh aktivis masyarakat, Abbe Hae yang sebelum ini membantu usaha menyelamatkan Pak Nor beberapa bulan lalu. Selepas diselamatkan, Pak Nor dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental.
Dalam perkembangan terbaharu, keadaan warga emas itu kini semakin terbela apabila sebuah pondok sementara yang lebih selesa berjaya dibina dalam tempoh dua minggu hasil bantuan beberapa pihak berautoriti.
![]()
Pada masa sama, rumah peninggalan keluarga Pak Nor yang sebelum ini hampir roboh turut sedang dibaiki dan kini sudah 80 peratus siap. Rumah tersebut nantinya akan mempunyai sebuah bilik khas untuk Pak Nor, manakala adiknya yang selama ini menjaga beliau turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk bagi perbelanjaan makan dan pakaian Pak Nor.
![]()
Abbe turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menjayakan usaha tersebut, termasuk Exco Pertanian, Ustaz Dato Saripudin, pihak MAIK, individu yang terlibat dalam pembinaan pondok serta pasukannya di Kelantan. Usaha itu diharapkan dapat memberikan kehidupan yang lebih selesa dan terjamin buat Pak Nor selepas melalui kehidupan sukar selama bertahun-tahun.
Kredit: Facebook Abbe Hae