Seorang pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee, Georgetown, Ahmad Khidir, 17, telah menarik perhatian ramai apabila diumumkan mendapat tawaran daripada sebuah universiti terkemuka meskipun masih belum menamatkan pengajian di sekolah menengah.
Video di bawah:
https://vt.tiktok.com/ZSj4wpgAS/
Belum Ambil SPM Tapi Sudah Terima Tawaran Dari Universiti
Ahmad, yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada 2 Disember ini mendapat maklumat mengenai tawaran tersebut selepas gurunya menerima mesej daripada wakil universiti melalui platform media sosial TikTok.
Mengulas mengenai tawaran tersebut, Ahmad menyatakan rasa terkejut dan bersyukur kerana mendapat perhatian daripada pihak universiti. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kini fokus utamanya adalah untuk membuat persediaan terbaik bagi menghadapi peperiksaan SPM.
Ahmad berkata, walaupun dia bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sumber manusia, dengan Universiti Malaya (UM) atau Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai pilihan utama, buat masa ini persediaan untuk SPM tetap menjadi keutamaan.
“Saya terkejut apabila Cikgu Sejarah maklumkan ada wakil universiti daripada bahagian pengambilan penuntut mahukan butiran lanjut mengenai saya.
“Tapi pihak universiti berkenaan belum menghubungi saya mahupun keluarga. Ikutkan saya memang berhasrat sambung pengajian ke peringkat universiti dalam bidang sumber manusia dan kalau boleh nak ke Universiti Malaya (UM) atau Universiti Utara Malaysia (UUM).
“Tapi buat masa sekarang kena fokus dengan SPM dulu kerana nak dapat keputusan terbaik memandang sudah buat persediaan sejak Tingkatan Tiga lagi,” ujar Ahmad.
Selain tawaran daripada universiti, Ahmad turut menerima pelbagai mesej daripada individu yang ingin mengetahui tips kejayaannya, terutama dalam subjek Bahasa Mandarin dan Prinsip Perakaunan.
Menurutnya, ada juga pelajar Tingkatan Tiga yang bertanya mengenai cara memilih aliran pengajian untuk Tingkatan Empat. Ahmad dengan rendah hati berkongsi pengalaman dan panduan yang boleh membantu orang lain mencapai kejayaan akademik.
“Jadi saya kongsi mana yang termampu kerana nak orang lain pun berjaya,” tambah Ahmad.
Kredit: Harian Metro