Shuib Sepahtu tersentuh apabila sesi temuduga terbuka bagi mencari kakitangan perusahaan produk minuman yang diasaskannya, dihadiri individu dibuang kerja impak daripada pandemik COVID-19.
Dihadiri hampir 300 pencari kerja sedangkan syarikat hanya mahu mengupah kira-kira 100 orang, calon terpaksa beratur panjang sehingga tiga kilometer bagi menjaga penjarakan pada sesi temuduga yang berlangsung dua hari, mulai Rabu lalu.
Shuib mengaku perasaannya bercampur baur apabila melihat terlalu ramai calon datang mencuba nasib.
“Saya tidak sangka sama sekali sesi temuduga itu mendapat sambutan luar biasa. Kami hanya menghebahkannya di laman sosial.
“Ibu pejabat di Puchong sesak dengan kehadiran orang ramai yang ingin mencuba nasib. Seperkara lagi, apa yang membuatkan saya sedih apabila menyedari mereka bukan saja datang dari Kuala Lumpur, malah negeri lain.” – Shuib
Shuib sayu sebaik mendapat tahu kebanyakan daripada mereka yang datang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.
“Mereka mencari kerja demi meneruskan kelangsungan hidup selepas banyak syarikat ditutup,” kata Shuib yang mengusahakan syarikat minuman, BubbleBee.
Tambah Shuib, dia pernah melalui perkara sama apabila diberhentikan kerja dahulu.
“Saya pernah melaluinya… Datang temuduga jauh-jauh tapi tidak dapat. Apabila melihatkan kesungguhan mereka, hati jadi sayu.
“Kalau boleh, saya mahu mereka semua diberi kerja tetapi apakan daya, peluang terhad. Saya doakan urusan mereka dipermudahkan dan diperluaskan rezeki.”