Seorang wanita berusia 30 tahun dikenakan denda RM3,000 oleh mahkamah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam dengan menggigit seorang penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu operasi baru-baru ini.
![]()
Wanita Dihukum Denda RM3,000 Kerana Bertindak Agresif Menggigit Penguat Kuasa DBKL
Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, memaklumkan bahawa wanita berkenaan dihadapkan ke mahkamah kelmarin dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda setelah tertuduh mengaku bersalah.
Sementara itu, siasatan terhadap tiga lagi individu lelaki berusia antara 15 hingga 39 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian berasingan berkaitan serangan terhadap petugas DBKL masih diteruskan. Sulizmie berkata, kertas siasatan telah disiapkan dan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
![]()
Insiden melibatkan penguat kuasa DBKL bukanlah yang pertama berlaku, apabila sebelum ini dilaporkan bahawa pegawai DBKL cedera akibat diserang oleh penjaja tidak berlesen dalam dua kejadian berasingan pada hari Rabu lalu. Rentetan daripada kejadian itu, pihak polis menahan empat individu selepas menerima dua laporan berkaitan serangan yang menyebabkan kecederaan kepada anggota penguat kuasa.
Dalam perkembangan berkaitan, satu rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan seorang penjaja wanita bertindak agresif dengan menjerit dan meronta-ronta ketika beberapa penguat kuasa wanita cuba menenangkannya. Difahamkan, kejadian itu berlaku sewaktu DBKL cuba menyita kenderaan milik wanita terbabit semasa operasi berkenaan dijalankan.
Kredit: Berita Harian