Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memperkenalkan syarat baharu bagi kelayakan kenaikan pangkat, iaitu memastikan indeks jisim badan (BMI) anggota tidak melebihi 28.
BMI Bawah 28 Jadi Syarat Kenaikan Pangkat Anggota PDRM
Langkah ini diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang menegaskan bahawa kriteria ini penting bagi memastikan anggota sentiasa berada dalam tahap kesihatan yang baik serta mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Syarat tambahan ini diperkenalkan bagi menyokong usaha PDRM dalam memperkasakan kesihatan dan kecekapan anggota secara menyeluruh.
Selain itu, pelaksanaan e-Kursus dan Penilaian Kompetensi Dalam Talian (PeKAT) turut dirancang sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menambah baik dasar kenaikan pangkat pegawai kanan polis.
Tan Sri Razarudin turut menekankan bahawa proses kenaikan pangkat PDRM akan diperkasakan bagi memastikan ia lebih adil dan telus. Penambahbaikan ini bertujuan membendung isu-isu seperti pilih kasih, selain memastikan setiap anggota yang layak diberi peluang berdasarkan prestasi dan kriteria ditetapkan.
Langkah proaktif ini diharapkan mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan pasukan keselamatan negara sambil memberi tumpuan kepada aspek kesihatan dan profesionalisme anggota.
Kredit: Sinar Harian