Sedar tak sedar, raya sudah tidak lama lagi. Pastinya ramai sudah membuat macam-macam perancangan untuk juadah pagi raya nanti. Antara juadah Aidilfitri yang selalu menjadi kegemaran ramai ialah lemang.
Lemang dapat disimpan sehingga berhari-hari. Tetapi, jika disimpan terlalu lama, rasanya sudah tidak sama dengan lemang yang baru siap. Sebenarnya, ramai yang tidak tahu cara yang betul untuk memanaskan semula lemang. Mesti ada yang berfikiran bahawa lemang boleh dipanaskan dalam microwave. Tetapi, jika berbuat demikian, tekstur lemang itu akan terburai. Jika dipanaskan secara terus atas api, ia akan menjadi keras. Jadi, bagaimanakah cara paling tepat untuk memanaskan lemang?
Cara yang betul untuk mengekalkan rasa dan tekstur lemang tersebut ialah dengan mengukus. Anda boleh menggunakan periuk pengukus dalam membiarkan lemang dikukus selama 15 minit.
Berikut adalah langkah-langkah untuk memanaskan lemang dengan cara kukusan:
- Panaskan air dalam periuk pengukus
- Setelah air mendidih, letak lemang atas pengukus.
- Biarkan selama 15 minit.
- Lemang anda sedia untuk dihidang.
Dengan mengetahui cara yang betul, barulah anda boleh menikmati rasa asli lemang tersebut. Selamat mencuba dan selamat hari raya!