Semalam tular mengenai seorang lelaki yang memotong gelang merah jambu, dipakai individu di bawah pengawasan (PUS) COVID-19 telah melarikan diri dari Hospital Pulau Pinang (HPP).
Orang awam berjaya temui
Namun malam tadi, lelaki tersebut berjaya ditemui jam 9 malam oleh orang awam sebelum sepasukan petugas kesihatan lengkap memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) tiba di lokasi.
Lelaki berusia 23 tahun itu ditemui di kawasan kaki lima deretan kedai di Bayan Lepas.
Dia kemudian dibawa semula ke hospital dengan ambulans. Difahamkan, lelaki berkenaan berjalan kira-kira 25 kilometer dari HPP ke Bayan Lepas.
Berbeza warna gelang
Lelaki berasal dari Kepala Batas itu dikesan tiada di katilnya pada jam 3.20 petang semalam, dipercayai melarikan diri dengan memakai baju dan seluar berwarna putih, manakala gelang pengawasan berwarna merah jambu ditinggalkan di atas katil.
Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini memaklumkan gelang tangan atau tag kuarantin COVID-19 tidak hanya berwarna merah jambu, sebaliknya terdiri daripada lima warna berbeza iaitu putih, biru, merah atau kuning tertakluk kepada stok di kawasan setempat.