Cubaan seorang wanita untuk merompak sebuah kediaman gagal selepas seluar sukan yang dipakainya ketika kejadian tersangkut pada jeriji pagar.
Cubaan Merompak Gagal, Seluar Tersangkut Pada Pagar
Menurut laporan Daily Star, akibat memanjat pagar jeriji ketika cubaan merompak, wanita terbabit dikatakan tergantung pada pagar dan seluarnya hampir tercabut hingga menampakkan pakaian dalamnya.
Kejadian dipercayai berlaku pada awal pagi 7 Mei di sebuah rumah di Maipú, berhampiran Santiago, Chile itu yang turut berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
Berdasarkan rakaman yang ditunjukkan sumber, suspek kelihatan sedang bergelut untuk melepaskan dirinya yang tersangkut pada pagar.
Risau dirinya ditangkap, suspek membuka dan menendang kasutnya untuk membolehkan dia mengeluarkan kaki daripada seluarnya.
Sebaik sahaja terjatuh, suspek dilihat berada dalam keadaan separuh berbogel dan menggunakan baju sejuknya sebagai seluar sementara.
Difahamkan suspek tidak bergerak sendirian, namun rakan subahatnya dikatakan langsung tidak membantu suspek yang lari dalam keadaan separuh bogel. Malah rakannya itu terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.
Namun beberapa minit kemudian, suspek turut berjaya melarikan diri ketika pengawal keselamatan sedang bertukar syif.
Kredit: Daily Star