Pempengaruh TikTok, Nur Syahirah Saufi atau lebih dikenali sebagai SchaYang, yang terkenal kerana ketinggiannya yang luar biasa menghembuskan nafas terakhir pada 6 Februari lalu sekitar jam 11 malam akibat sakit jantung.
Lebih memilukan, arwah baru sahaja seminggu melangsungkan perkahwinan bersama suaminya, Muhammad Syahmi Zulkefli.
Hajat Pakai Baju Sedondon Di Pagi Raya Tidak Kesampaian
Dalam luahan sebaknya, Syahmi berkongsi kenangan terakhir bersama arwah, termasuk impian mereka untuk mengenakan pakaian sedondon pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
Katanya, arwah begitu teruja membeli sepasang baju Melayu berwarna coklat untuknya, tetapi tidak sempat membeli baju kurung sendiri.
“Dia beli baju Melayu untuk saya pakai masa Hari Raya nanti, tapi dia sendiri tak beli baju kurung warna sama.
“Kami memang dah rancang nak sedondon, tapi dia tak sempat nak beli. Saya terkilan sebab dia tak dapat tengok saya pakai baju itu depan dia. Allah SWT lebih menyayanginya,” luah Syahmi.
Syahmi turut mengakui hatinya tergerak untuk membelikan baju kurung warna sama buat isterinya selepas melihat betapa bersungguh-sungguh arwah merancang untuk mereka berpakaian sedondon. Namun, semuanya tinggal kenangan.
SchaYang, yang memiliki lebih 96,000 pengikut di TikTok, dikenali ramai kerana personalitinya yang ceria dan sikapnya yang mesra.
Pemergiannya mengejutkan ramai pihak, termasuk para pengikutnya di media sosial yang turut menzahirkan ucapan takziah buat keluarga serta suaminya.
Kredit: Kosmo!