Selebriti veteran yang kini bergelar pendakwah iaitu Shamsul Ghau Ghau mendedahkan bahawa beliau pernah menjual rumah dan menghabiskan wang simpanannya yang mencecah RM300,000 demi mengikuti serta mempelajari pengajian al-Quran sepanjang 10 tahun beliau menghilangkan diri dari dunia seni.
10 Tahun Hilangkan Diri Dari Dunia Seni
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Harian Metro, difahamkan Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin memaklumkan bahawa beliau telah menjual beberapa aset lain untuk menyara keluarganya selepas tidak mengambil sebarang tawaran kerja dalam bidang seni demi menuntut ilmu agama.
“Selama tempoh 10 tahun belajar al-Quran duit simpanan saya berjumlah RM300,000 habis digunakan. Dua buah rumah yang salah satunya kondominium, kereta dan motor turut saya jual. Semua itu untuk tampung keluarga. Contohnya sebulan belanja keluarga saya RM5,000 dan kalau setahun dah jadi RM60,000 Jadi bayangkan selama 10 tahun tidak terbabit dengan dunia seni, macam mana nak dapat duit. Kenalah guna apa aset yang ada,” katanya.
Shamsul Ghau Ghau Jual Rumah Untuk Sara Keluarga
Shamsul yang kini sudah mendapat tauliah sebagai seorang penceramah berharap agar pintu rezekinya akan sentiasa terbuka luas selepas pengorbanannya itu. Beliau turut mengakui pernah mendapat tawaran untuk belajar al-Quran di Mesir namun terpaksa menolak memandangkan anaknya masih belajar lagi.
“Saya hilang kerja dan tiada tawaran dalam industri selama 10 tahun. Tempoh itu memang saya gunakan untuk mempelajari al-Quran. Saya dapat tawaran belajar al-Quran di Mesir, tapi hasrat itu terpaksa dilupakan kerana anak saya masih belajar dan ada yang ambil Sijil Pelajaran Malaysia. Tujuan ambil tauliah bukan nak riak, tetapi ingin buktikan sesiapa sahaja boleh belajar al-Quran tanpa mengira had umur. Apa yang penting adalah fokus. Alhamdulillah sekarang saya dapat buat kemunculan semula dalam industri seni. Anak-anak pun makin besar, jadi saya perlu mencari rezeki demi kelangsungan hidup,” ujarnya lagi.
Bercerita tentang perkembangan terbaru, Shamsul kini sedang mengacarakan program Pentas Marhaban yang bersiaran setiap Sabtu pada jam 9 malam di saluran TV AlHijrah bersama Tilmiz Fahmi.
Kredit: Harian Metro