Seorang lelaki yang merupakan penganggur ditahan polis akibat cubaan menikam imam di sebuah surau dengan menggunakan sebilah pisau tajam. Dikatakan kejadian tersebut dipercayai berlaku pada Jumaat lalu selepas imam Surau Batitulhuda di Batu Ampar, Daerah Kramat Jati, Jakarta Timur selesai mengimamkan solat Isyak.
Cuba Tikam Imam Kerana Terganggu Dengar Bunyi Bacaan Ayat Suci Al-Quran
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Kumparan.Com, Ketua Polis Daerah Kramat Jati, Kompol Rusit Malaka memaklumkan bahawa suspek yang berusia 26 tahun itu bertindak luar kawalan kerana terganggu dengan bunyi bacaan ayat suci al-Quran dari surau berkenaan.
“Suspek menunggu mangsa di hadapan surau Baitulhuda. Apabila bertemu, suspek bertanya ‘adakah kau imam?’ Mangsa jawab ‘Ya’. Suspek kemudian segera mengeluarkan pisau yang disimpannya dan mengacukan ke arah mangsa,” jelas Rusit.
Mungkin Suspek Ada Masalah Mental
Mengulas lanjut, mangsa bagaimanapun dapat mengelak daripada serangan tersebut dan menjerit meminta pertolongan daripada orang sekeliling sebelum penduduk kampung datang ke lokasi kejadian dan menahan suspek.
Difahamkan ketika soal siasat, suspek mengakui bahawa beliau berbuat demikian kerana berasa resah apabila mendengar suara mangsa mengimamkan solat dan mengaji al-Quran di dalam surau. Keluarga suspek juga turut memberi maklumat dengan mengatakan suspek penah mengadu terdengar bisikan dari sekelilingnya.
Suspek kini ditahan di Balai Polis Kramat dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut memandangkan mereka perlu memastikan tahap kesihatan mentalnya terlebih dahulu.
Kredit: Kumparan.com