fbpx

Pelakon senior iaitu Riezman Khuzaimi meluahkan rasa kecewa apabila dia terasa terhina selepas ditawarkan berlakon dengan bayaran serendah RM150 sehari daripada pihak produksi tempatan.

Riezman Khuzaimi Rasa Terhina Ditawar Bayaran Rendah

Menurut laporan Astro Gempak, pelakon yang berusia 54 tahun itu menganggap tawaran yang ditawarkan terhadapnya tidak memadai memandangkan beliau adalah salah seorang pelakon yang berpengalaman dan senior dalam dunia industri seni.

“Setahun ada dua atau satu filem, drama pun begitu juga. Orang selalu tanya kenapa jarang nampak dekat TV, saya cakap terus terang sebab dia orang tak mampu bayar saya. Tak mampu bayar bukan kerana mahal, tapi bayaran itu saya rasa seperti satu penghinaan.

“Jadi saya rasa lebih baik saya jual burger boleh dapat dalam RM300 ke RM400 sehari daripada berlakon dapat RM150, itu melampaulah,” katanya.

Patutnya Lagi Senior Lagi Tinggi, Bukan Lagi Catu

Tambah Riezman lagi, beliau tidak menafikan isu gaji rendah menjadi punca mengapa pelakon veteran yang lain terpaksa menolak tawaran berlakon daripada sesetengah produksi. Beliau turut kedepankan pandangannya bahawa pihak produksi perlu membayar gaji setimpal dengan pengalaman yang dimiliki oleh seseorang pelakon itu.

“Memang patut dia (Azlee Senario) tolak. Kalau kita tengok Senario berlakon, menyanyi dan buat lawak…kita sepatutnya kena hormati. Patutnya lagi senior lagi tinggi bukan lagi catu.

“Sama juga macam Jalil Hamid kenapa dia tak nak berlakon, sebab tawaran yang macam itu. Fauziah Nawi pun begitu. Saya pun pernah berlakon di Indonesia dan Hong Kong. Bukan sebab status tapi pengalaman. Lagi senior pelakon itu mereka sepatutnya bayar sama dengan pengalamannya.

“Perkara ini makin teruk. Ini nak merosakkan industri kita, kualiti akan jatuh,” luahnya di akhir kata.

Terdahulu, terdapat segelintir netizen yang mendakwa Azlee Senario bersikap bongkak dan tidak bersyukur kerana menolak tawaran lakonan berikutan bayaran yang tidak berpatutan. Oleh yang demikian, Riezman Khuzaimi terpaksa bersuara isu ini kepada media agar menjadi peringatan buat pihak produksi untuk tidak memandang rendah terhadap pelakon yang lebih senior dan berpengalaman dengan menawarkan mereka bayaran yang tidak sewajarnya.

Kredit: Astro Gempak

[fbcomments]