Kes penemuan mayat seorang lelaki di tepi semak berhampiran Jalan Harvard-Gurun, Kedah, pada Khamis lalu terbongkar sebagai kes pembunuhan membabitkan sekumpulan lelaki yang dipercayai bertindak sendiri selepas menuduh mangsa mencuri motosikal.

Mangsa, Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 19, dilaporkan hilang sejak sebulan lalu sebelum ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di lokasi berkenaan.

Muhammad Haikal Maut Dibunuh, Dikurung Dan Diseksa Dua Hari Kerana Dituduh Curi Motosikal

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai ditangkap di Pendang pada 5 Oktober sebelum dibawa ke sebuah rumah milik salah seorang suspek di Gurun dan dikurung selama dua hari.

Sepanjang tempoh tersebut, mangsa dipercayai dipukul, diseksa dan rambutnya turut digunting. Pada malam 7 Oktober, mangsa ditemukan sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dibuang di tepi jalan dan dijumpai orang awam sekitar jam 8 pagi keesokan harinya. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian konsisten dengan kecederaan berganda akibat hentakan objek tumpul.

Susulan siasatan, polis menahan 14 lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 24 tahun, termasuk dua remaja bawah umur, dalam beberapa serbuan di sekitar Gurun dan Guar Chempedak. Polis turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta Honda City, sebilah gunting dan kad pengenalan mangsa. Menurut Adzli, semua suspek direman selama enam hari sehingga 14 Oktober, manakala dua suspek bawah umur direman selama tiga hari bagi membantu siasatan. Hanya seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

Dalam pada itu, Adzli menegaskan orang ramai perlu menyerahkan kesalahan jenayah kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan diambil tindakan, bukannya menjalankan tindakan sendiri sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa. Beliau turut menghargai maklumat daripada orang awam yang membantu polis menyelesaikan kes berkenaan.

Sebelum ini, ibu mangsa, Azura Zor, 41, dilaporkan tidak menyangka anak sulung daripada empat beradik itu ditemukan tidak bernyawa selepas gagal dihubungi selama kira-kira sebulan. Mayat seorang lelaki berpakaian sukan hitam dan kuning pada awalnya ditemukan di lokasi kejadian, namun identitinya belum dikenal pasti ketika laporan awal dikeluarkan.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]