Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia, dilaporkan memohon perintah mahkamah bagi mengehadkan tindakan bapa dan kakaknya dalam menguruskan hal kewangan serta pentadbiran syarikat miliknya, LZJ Management.

Lee Zii Jia Mohon Campur Tangan Mahkamah Dalam Pengurusan Syarikat Miliknya

Permohonan injunksi interim itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi saman bertarikh 2 Julai 2026 dengan nombor kes WA-24NCC-400-07/2026. Selain bapanya, Lee Chee Hin, dan kakaknya, Lee Zii Yii, pemain itu turut menamakan adiknya, Lee Tao, serta LZJ Management sebagai responden dalam prosiding berkenaan.

Menerusi permohonan tersebut, Zii Jia mahu bapanya dan kakaknya, yang merupakan pengarah syarikat, dilarang meluluskan sebarang bayaran fi pengarah, elaun, bonus atau manfaat kewangan lain untuk diri sendiri selain gaji bulanan masing-masing.

Dia juga memohon supaya keputusan penting berkaitan syarikat tidak dilaksanakan tanpa kebenaran mahkamah, termasuk pelantikan atau penyingkiran pengarah, pelantikan setiausaha syarikat, penjualan aset utama, penerbitan saham baharu serta perubahan struktur pemilikan saham.

Menurut dokumen permohonan itu, Zii Jia mendakwa memiliki 90 peratus kepentingan dalam LZJ Management, manakala Zii Yii memegang sembilan peratus dan Lee Tao memiliki baki satu peratus. Dia turut memohon supaya satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membincangkan isu pengurusan dan tadbir urus syarikat.

Permohonan injunksi interim berkenaan bertujuan mengehadkan tindakan tertentu sementara pertikaian undang-undang itu masih dalam proses mahkamah.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]