Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut dipercayai akibat disambar petir ketika memancing di kawasan bendang di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas, Kelantan, Repek, kira-kira jam 4.30 petang Isnin.
![]()
Sepupu Lihat Tubuh Mangsa Berasap Selepas Disambar Petir Ketika Memancing
Mangsa, Muhammad Ziad Zikri Abdul Hadi, meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM). Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang memancing bersama tiga individu lain, termasuk sepupunya, Haziq Qayyum Rosli, 12, di kawasan yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.
Menurut Haziq Qayyum, mereka tiba di lokasi berkenaan sekitar jam 4 petang. Bagaimanapun, cuaca yang pada mulanya baik berubah apabila hujan mula turun secara tiba-tiba, menyebabkan dia mengajak Ziad dan seorang lagi rakan mereka pulang kerana bimbang hujan semakin lebat.
Ziad bagaimanapun meminta mereka menunggu sebentar kerana baru sahaja tiba dan dia sudah berjaya memperoleh dua ekor ikan. Selepas hujan semakin lebat, Ziad akhirnya bersetuju untuk pulang dan mereka mula berjalan menuju ke motosikal.
![]()
Ketika dalam perjalanan, satu sambaran petir yang kuat menyebabkan keempat-empat mereka terjatuh. Haziq berkata, dia melihat tubuh Ziad mengeluarkan asap selepas kejadian itu, sebelum mereka bergegas pulang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada bapa mangsa.
“Saya ingatkan Ziad hanya pengsan, tetapi tidak sangka dia sudah meninggal dunia apabila dimaklumkan kemudian,” katanya ketika ditemui.
Haziq yang mengalami kecederaan di bahagian belakang bahu kanan turut berkata, mereka berempat sememangnya sering menghabiskan masa bersama dengan memancing di kawasan tersebut. Dia tidak menyangka aktiviti yang biasa dilakukan itu berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa sepupunya.
“Saya sangat sedih kerana kami berempat begitu rapat,” katanya.
Kredit: Harian Metro