Selepas lebih dua dekad mendirikan rumah tangga, pelakon Edika Yusof akhirnya sah bercerai talak satu dengan isterinya, Nor Hidayah Yusri, pada pagi Isnin di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Edika Yusof dan Isteri Sah Bercerai Selepas 20 Tahun Berumah Tangga
Lafaz cerai itu dilakukan sendiri oleh Edika di hadapan Hakim Syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh pada jam 10.40 pagi. Ketika diminta mengulas atau memberikan ucapan terakhir sebelum melafazkan cerai, Edika memilih untuk berdiam diri.
Sebaliknya, Hidayah tidak dapat menahan sebak apabila mengambil peluang terakhir itu untuk mengucapkan terima kasih kepada bekas suaminya. Dalam tangisannya, beliau tetap mengakui segala kebaikan yang pernah dilakukan oleh Edika sepanjang mereka hidup bersama.
“Saya tak pernah nafikan kebaikan dia. Tapi keputusan ini dibuat berdasarkan hukum. Saya terpaksa. Harap dia faham,” kata Hidayah dengan nada pilu.
Pasangan ini kemudian sempat bersalaman dan saling bermaafan sebelum keluar dari mahkamah. Suasana sayu menyelubungi perpisahan yang dibuat atas persetujuan dan keperluan yang dirasakan perlu demi kebaikan bersama.
Namun begitu, Edika yang kini berusia 58 tahun mengakui hatinya berat untuk melafazkan cerai kerana masih menyimpan harapan agar rumah tangga mereka dapat diselamatkan.
“Saya tidak reda untuk lafazkan cerai kepada dia. Siapa sahaja yang mahu rosakkan rumah tangga yang dibina, kan? Tetapi saya sudah bersedia untuk memenuhi permintaan isteri saya kalau itu yang dia mahu,” katanya dengan nada terkilan.
Dalam pada itu, Edika turut meluahkan rasa kecewa apabila faktor kesihatan isterinya yang disahkan menghidap meningitis atau radang selaput otak tidak diberi pertimbangan sewajarnya oleh pihak berkaitan.
“Saya sudah lampirkan dokumen hospital berkenaan penyakit isteri saya. Ia memandangkan penyakit ini boleh menjejaskan mentalnya. Namun, tidak diambil kira. Saya tidak salahkan mana-mana pihak tetapi minta supaya faktor ini dapat dilihat,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Hidayah telah memfailkan permohonan cerai terhadap Edika pada pertengahan Februari lalu. Pada 23 April, beliau turut mengemukakan 10 alasan utama yang menjadi asas kepada tuntutan cerai tersebut, yang menurutnya merupakan isu-isu kritikal yang telah menggugat keharmonian rumah tangga mereka.
Edika dan Hidayah mendirikan rumah tangga pada 16 Januari 2004 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq.
Kredit: OhBulan, Mstar