Enam beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Selasa atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 118.87 gram di Chemor, Perak, minggu lalu.
![]()
Enam Beradik Berdepan Hukuman Mati Atas Pertuduhan Edar Heroin
Kesemua tertuduh ialah Muhammad Affandi Zulkafli, 41, Muhammad Khairul Azmil Zulkafli, 40, Shahrul Azwan Zulkafli, 38, Mohamad Shah Herman Zulkafli, 35, Muhamad Amirul Zulkafli, 29, dan Mohamad Hafizi Zulkafli, 27. Kesemua mereka yang merupakan penganggur hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mengedar heroin seberat 118.87 gram di sebuah pondok tidak bernombor yang terletak bersebelahan sebuah rumah di Laluan Usaha, Kampung Che Zainal Tambahan 1, Chemor kira-kira jam 9.20 malam pada 21 Julai lalu.
![]()
Kes itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Mahkamah turut tidak membenarkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan berkenaan melibatkan hukuman berat. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Oktober depan bagi mendapatkan status laporan kimia.
![]()
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin, manakala kesemua tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.
Dalam perkembangan sama, mahkamah dijadualkan bersidang di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun pada petang ini bagi membolehkan seorang lagi tertuduh, Mohd Ismail Borhan, 43, yang sedang menerima rawatan akibat masalah kesihatan, didakwa atas pertuduhan yang sama.
Kredit: Bernama