Polis mengesahkan seramai 110 pelarian Rohingya yang berkhemah di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling memiliki dokumen UNHCR yang sah selepas proses semakan dan dokumentasi dijalankan.

Kesemua 110 Pelarian Rohingya Di Bukit Petaling Miliki Kad UNHCR Sah

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seramai 113 warga asing telah dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sekitar jam 8.50 malam untuk tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut. Kumpulan tersebut terdiri daripada 110 pelarian Rohingya, selain seorang lelaki warga Iraq dan seorang wanita warga Somalia.

Menurut beliau, hasil semakan yang dilakukan di perkarangan Dataran Wira IPK Kuala Lumpur mendapati semua warga Rohingya terbabit memiliki dokumen UNHCR yang masih sah. Proses dokumentasi berkenaan melibatkan pegawai serta anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKA).

Kesemua warga asing berkenaan kini ditempatkan sementara di Dataran Wira sementara menunggu tindakan susulan daripada pihak UNHCR.

Sebelum ini, kumpulan pelarian tersebut dilaporkan berkumpul dan mendirikan khemah di hadapan pejabat UNHCR selepas mendakwa diusir oleh penduduk tempatan. Mereka difahamkan tiba di Kuala Lumpur sejak awal pagi Isnin menggunakan tiga buah bas dari Pulau Pinang.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]