Baru-baru ini, media sosial kembali panas apabila Fara Salleh, isteri kepada pengacara dan pelawak terkenal Shuk Sahar, memuat naik beberapa hantaran di platform Threads yang mencetuskan kontroversi mengenai perkahwinan mereka.
Fara seolah-olah menyesal dengan keputusan untuk berkahwin dan tidak teragak-agak menyuarakan rasa kecewanya kepada umum. Hantaran tersebut segera mendapat perhatian, membuatkan ramai netizen terkejut dengan kenyataan terbuka daripada Fara.
Rumah Tangga Shuk Sahar Dan Fara Mula Retak?
Namun, Shuk tidak berdiam diri. Menerusi laman Instagram miliknya, Shuk menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan dia sering menjaja cerita buruk mengenai isterinya kepada rakan-rakannya. Shuk menegaskan bahawa sepanjang hidupnya, dia tidak pernah berbicara buruk tentang orang lain, apatah lagi tentang pasangannya sendiri.
“Seumur hidup aku tak pernah bercerita buruk tentang orang, harap orang boleh guna akal dan fikiran untuk menilai,” tulisnya yang membidas tuduhan yang dilontarkan oleh isterinya.
Tidak lama selepas itu, Shuk turut berkongsi semula beberapa Instagram Story daripada rakan artis, Iqram Dinzly, yang memberikan kata-kata semangat buatnya. Iqram menyatakan bahawa Shuk sedang berhadapan dengan dakwaan yang tidak benar dan menyeru agar Shuk terus kuat dalam menghadapi dugaan ini.
Fara, melalui platform Threads, turut mendedahkan bahawa dia pernah mengajak Shuk untuk mendapatkan kaunseling bagi memperbaiki hubungan mereka. Namun, usahanya tidak diendahkan kerana sifat baran yang sering ditunjukkan oleh Shuk. Malah, Fara juga meluahkan rasa kesal kerana terpaksa menghadapi cabaran ini sendirian, tanpa sokongan suaminya.
Rakan Shuk Tampil “Backup”
Situasi ini semakin memuncak apabila seorang individu yang dipercayai rakan kepada Shuk, dikenali sebagai Raje Ridzuan Khai, tampil memberikan respon terhadap dakwaan Fara. Menerusi satu hantaran di Instagram, Ridzuan mempertikaikan tindakan Fara yang memuat naik gambar rakan-rakannya di media sosial dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan mereka telah menjaja cerita buruk mengenai Fara.
“Kenapa nak perlu muat naik gambar kawan-kawaan saya?? Kenapa nak cari salah kami pula? Bila masa kami mengumpat awak? Awak yang mengumpat suami awak di media sosial adalah. Awak malu kan waktu suami awak sedang berniaga di Singapura?,” marahnya.
Ridzuan turut menegaskan bahawa sepanjang perkenalan mereka, dia tidak pernah mendengar Shuk bercakap buruk tentang isterinya. Ridzuan juga mengecam tindakan Fara yang memalukan suaminya di hadapan umum, dengan mendakwa Fara sengaja menyebarkan cerita buruk tentang Shuk di media sosial untuk memburukkan nama baik suaminya.
Ridzuan akhirnya menjelaskan bahawa dia tidak berniat untuk masuk campur dalam urusan rumah tangga Shuk dan Fara. Namun, dia merasa terpanggil untuk bersuara selepas Fara memuat naik beberapa video yang melibatkan dirinya dan rakan-rakan lain di media sosial.
Menurut Ridzuan, Fara menjadi marah apabila rakan-rakan Shuk dikatakan telah menghinanya sewaktu mereka berniaga di sebuah tapak jualan pesta makanan.
“Normal lah berniaga mestilah kena jerit-jerit nak panggil orang, tapi dia boleh pula cakap kami ‘meng*njing’ dia. Siap tuduh suami dia ‘backup’ member. Bila suami kau ‘backup’ kami? Kau malukan suami kau depan orang adalah,” jelas Ridzuan, yang turut menambah bahawa tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali.
Sehingga kini, kedua-dua pihak belum lagi memberikan kenyataan rasmi tentang langkah seterusnya yang akan diambil dalam menghadapi situasi yang penuh dengan kontroversi ini.
Kredit: instagram shuk_sahar & imraje